fbpx

Pengurus ‘tepuk dahi’, wang simpanan RM1.7 juta kena kebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang pengurus syarikat berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM1.7 juta lesap selepas terpedaya pelaburan saham menerusi kumpulan WhatsApp yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 67 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu, Khamis lalu.

Menurutnya, kejadian bermula apabila nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp berkaitan pelaburan saham pada April lalu.

“Pelaburan itu menjanjikan pulangan harian antara 5 hingga 10 peratus, menyebabkan mangsa tertarik sehingga melakukan 12 transaksi kewangan ke lima akaun berbeza antara 16 April hingga 30 Mei lalu.

“Jumlah keseluruhan wang yang dilaburkan mangsa adalah RM1,772,603,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Kumar, setelah pelaburan tersebut dibuat, mangsa masih gagal mendapatkan sebarang keuntungan sebaliknya diminta membuat bayaran tambahan hampir RM500,000.

“Perkara itu membuatkan mangsa curiga lalu melaporkan kepada polis. Sehubungan itu, kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI