JASIN – Seorang warga emas Orang Asli dari suku Temuan mewakafkan sebidang tanah miliknya di Perkampungan Orang Asli Bukit Seraya di sini, bagi pembinaan sebuah surau meskipun dia bukan beragama Islam.
Kiah Atong, 64, berkata, tanah pusaka seluas kira-kira 4,000 kaki persegi itu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas mengetahui pihak berkenaan sukar mencari lokasi untuk mendirikan surau bagi kegunaan penduduk Islam di kampung tersebut.
Katanya, dia nekad membuat keputusan itu selepas memikirkan manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat terutama lima buah keluarga beragama Islam yang tinggal di kampung tersebut.
“JAIM ada usaha cari tanah tapi ramai yang tak izinkan, jadi saya pun beri tanah saya, bukan rugi pun, anak-anak saya pun kata terserah pada mak.
“Saya cuma minta mereka bantu bina rumah baharu sebab rumah lama dah tak muat untuk keluarga kami,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Sumbangan di sini, hari ini.
Katanya, dia mempunyai lima anak dan hanya anak sulungnya berusia 50 tahun memeluk Islam, manakala enam daripada sembilan cucunya juga beragama Islam.
Ujarnya, walaupun hanya sebilangan kecil penduduk kampung itu beragama Islam, namun dia gembira melihat suasana lebih meriah sejak Surau Al-Munawwarah mula beroperasi pada Februari lalu. – KOSMO! ONLINE