fbpx

‘Serangan balas Iran tiada batasan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR satelit loji nuklear Natanz di selatan Tehran yang menjadi sasaran serangan Israel. – MAXAR TECHNOLOGIES/ AFP

TEHRAN – Angkatan tentera Iran berjanji akan melancarkan serangan balas tanpa had terhadap Israel susulan serangan berdarah Tel Aviv ke atas sebilangan bandar termasuk ibu negara, Tehran.

“Sekarang rejim pengganas yang menduduki Al-Quds (Baitulmaqdis) telah melanggar semua garisan merah (tiada) had dalam membalas jenayah ini,” kata pemangku ketua staf angkatan tentera Iran dalam satu kenyataan.

Israel membedil Iran dalam siri serangan udara besar-besaran hari ini, menyerang 100 sasaran termasuk tapak nuklear dan ketenteraan Tehran. Rejim Zionis turut membunuh ketua staf angkatan tentera, ketua Pengawal Revolusi Iran dan lebih enam saintis nuklear negara musuhnya.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei memberi amaran kepada Israel bahawa ia akan menghadapi balasan ‘pahit dan menyakitkan’  akibat serangan itu.

Tentera Israel kemudian berkata, Iran melancarkan 100 dron perang ke arah Israel sebagai tindak balas dan pertahanan udaranya memintas dron-dron tersebut di luar wilayah Israel.

“Tentera (Israel) telah mula memintas UAV yang ditembak dari Iran, di luar wilayah Israel,” kata seorang pegawai tentera dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, sekurang-kurangnya enam saintis nuklear terbunuh  dalam serangan Israel ke atas Iran semalam, lapor media di republik Islam itu.

Agensi berita Tasnim menamakan enam saintis itu termasuk Mohammad Mehdi Tehranchi  yang merupakan presiden Universiti Islam Azad Iran.

Fereydoun Abbasi iaitu bekas ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran, juga antara saintis yang terbunuh, tambahnya.

Serangan hari ini mengenai sasaran di seluruh Iran termasuk bangunan kediaman di Tehran serta kemudahan pengayaan nuklear utama di tengah Iran.

Ketua Pengawal Revolusi Iran Hossein Salami dan ketua staf angkatan tentera, Jeneral  Mohammad Bagheri terbunuh dalam operasi Israel itu.

Dalam pada itu, tentera Jordan berkata, mereka memintas dron dan peluru berpandu yang melanggar ruang udara negara itu jari ini selepas Iran berjanji tiada had dalam tindak balasnya terhadap serangan Israel.

“Pesawat Tentera Udara Diraja dan sistem pertahanan udara memintas beberapa peluru berpandu dan dron yang memasuki ruang udara Jordan,” kata kenyataan tentera.

Siren serangan udara berbunyi di ibu negara Jordan, Amman selepas serangan Israel ke atas Iran, sementara direktorat keselamatan awam menggesa orang ramai untuk kekal di rumah.

“Sila patuhi  garis panduan dan kekal di rumah anda,” kata pengumuman melalui pembesar suara di Amman.

Jordan sebelum ini berkata, ia tidak akan membenarkan ruang udaranya dicabuli dan berjanji tidak akan menjadi ‘medan pertempuran’ dalam sebarang konflik serantau.

Pada Oktober 2024, Jordan memintas beberapa dron dan peluru berpandu yang ditembak oleh Iran ke Israel.

“Jordan tidak dan tidak akan membenarkan sebarang pelanggaran ruang udaranya, menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan menjadi medan pertempuran untuk sebarang konflik,” kata jurucakap kerajaan Mohammad Momani. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI