TUMPAT – Seorang penagih dadah dicekup selepas didapati menyimpan beberapa video lucah di dalam telefon bimbitnya di tepi jalan di Kampung Baru Nelayan di sini kelmarin.
Suspek yang berusia 44 tahun ditahan kira-kira pukul 8.30 malam semasa anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan operasi menerusi Ops Taring Wawasan di kawasan kampung tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, lelaki itu diberkas selepas berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan tepi jalan di kampung tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam telefon bimbit milik suspek menjumpai beberapa video lucah yang berada dalam simpanannya.
“Ujian awal saringan air kencing terhadap lelaki itu mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 292 (2) Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE