fbpx

7 dikompaun 3 ditahan dalam serbuan pusat hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesemua tujuh pelanggan yang sedang leka berhibur dalam pusat hiburan berkenaan dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PETALING JAYA – Seramai tujuh individu dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang manakalan tiga lagi ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di kawasan Sea Park di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 7.30 petang oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya susulan maklumat dan risikan yang dilakukan.

“Dalam serbuan itu, tiga wanita tempatan berusia 43 hingga 56 tahun yang berperanan sebagai pekerja premis telah ditahan dan semakan yang dilakukan mendapati salah seorang wanita yang merupakan pengurus premis berkenaan telah gagal menunjukkan lesen perniagaan yang sah untuk menjual minuman keras.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seramai tujuh orang pelanggan yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita warga tempatan berusia 26 hingga 43 tahun sedang berkumpul dan berhibur di dalam premis tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, kesemua pelanggan itu kemudiannya dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

“Suspek yang ditahan pula kini direman dua hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana Perbuatan Cuai Yang Mungkin Merebakkan Jangkitan Apa-Apa Penyakit Berbahaya Kepada Nyawa.

“Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah 12 botol minuman keras pelbagai jenama, dua keping resit jualan dan tiga keping kad kerja,” ujarnya.

Tambah Nik Ezanee, orang ramai diberi amaran agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan kegagalan berbuat demikian membolehkan orang ramai dikompaun RM1,000 atau ditangkap dan didakwa di mahkamah. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI