fbpx
Ika memaklumkan, suaminya lebih suka bermain ‘game’ dari pagi sampai malam pada cuti hujung minggu. – Gambar hiasan

K2

Isteri kesunyian, suami kaki ‘game’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI seorang wanita, Ika (bukan nama sebenar) risau apabila dia masih belum mendapat jodoh meskipun usianya telah mencecah pertengahan 30-an. Sebelum ini, dia ada menjalin hubungan percintaan dengan beberapa orang lelaki, namun semuanya tidak berakhir dengan perkahwinan.

“Hal ini telah membuatkan saya hilang semangat untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki dan lebih suka menjalani hidup sendirian.

“Ibu bapa saya risau kerana saya masih belum bertemu jodoh di usia yang semakin lanjut,” katanya yang bekerja dalam sektor swasta.

Ika mengakui, dia sudah lali dengan soalan-soalan daripada saudara-mara yang bertanyakan mengenai berkahwin.

Sampai satu tahap, Ika meminta mereka yang bertanyakan soalan itu menolongnya mencari jodoh.

Dia tidak menyangka bahawa ibu saudaranya mengambil serius akan jawapannya itu.

“Ibu saudara cuba memperkenalkan saya dengan seorang lelaki yang merupakan anak kepada kawannya.

“Pada mulanya saya tidak suka ‘dikenenkan’ dengan cara begitu, tetapi ibu bapa saya meminta saya berkenalan dengan lelaki itu terlebih dahulu.

“Saya akur kerana ibu bapa mahu melihat saya berkahwin sebelum mereka ‘pejam mata’,” jelasnya.

Lelaki yang diperkenalkan kepada Ika itu lapan tahun lebih muda daripadanya.

Namun, ia tidak menjadi halangan kepadanya untuk berkenalan.

“Pada perjumpaan pertama, suami saya seorang yang pemalu, malah langsung tidak memandang saya ketika kami bertemu.

“Dia juga menyatakan bahawa ibu bapanya memintanya untuk berkahwin kerana tidak ramai kawan.

“Dia juga langsung tidak pernah menjalin hubungan cinta dengan mana-mana wanita,” ujarnya.

Setelah dua kali bertemu, Ika memutuskan untuk berkahwin dengan lelaki tersebut.

Perkahwinan mereka berlangsung dalam keadaan meriah terutamanya di sebelah suaminya.

Ini kerana suaminya itu merupakan anak tunggal. Setelah berkahwin, mereka mengambil keputusan untuk tinggal berasingan dengan keluarga. Ika tinggal di sebuah rumah milik keluarga mentuanya yang sebelum ini disewakan kepada orang lain.

“Setelah berkahwin, baru saya tahu bahawa suami saya ini kaki ‘game’ (permainan video).

“Dia menjadikan sebuah bilik di rumah kami sebagai tempat untuk bermain permainan video.

“Dia sering menghabiskan masa di dalam bilik itu ketika berada di rumah. Kalau cuti hujung minggu, dia akan main ‘game’ dari pagi sampai malam,” ujarnya.

Pada mulanya, Ika tidak kisah dengan minat suaminya itu. Lama-kelamaan, dia mendapati ketaksuban suaminya terhadap permainan video agak melampau.

“Dia boleh duduk seharian di dalam bilik dan tidak keluar pergi bekerja.

“Suami saya ini bekerja dengan ayahnya dan tidak hairanlah dia jarang pergi bekerja.

“Ini kerana setiap bulan dia tetap mendapat gaji daripada ayahnya,” jelas Ika.

Selepas setahun berkahwin, Ika mendapati suaminya langsung tidak memberi perhatian kepadanya.

Suaminya lebih mengutamakan permainan video berbanding dirinya ketika berada di rumah.

Malah ada ketikanya, makanan yang dimasak oleh Ika langsung tidak dijamah oleh suaminya kerana terlalu sibuk bermain ‘games’. Bukan itu sahaja, Ika juga jarang mendapat nafkah batin daripada suaminya. Dalam sebulan mereka hanya bersama sekali.

“Saya seperti perlu ‘mengemis’ nafkah batin daripadanya. Ketika kami bersama pun, dia langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi. Malah, dia sering ‘tewas awal’ dan saya tidak mendapat kepuasan yang sebenar,” katanya.

Ika merasakan perkahwinannya itu hambar dan dia sering berasa kesunyian.
Ini kerana, dia ingin dibelai manja dan menghabiskan masa di rumah bersama dengan suaminya.

Namun, suaminya seperti tidak tahu melayaninya dan Ika merasakan dia bukan berkahwin dengan seorang manusia normal. Lama-kelamaan, Ika merasakan dia tidak boleh meneruskan lagi perkahwinan dengan suaminya.

Setelah berfikir panjang, dia menyatakan hasrat kepada suaminya untuk berpisah dengan cara baik.

“Suami saya langsung tidak ada perasaan dan dia hanya kata ‘okey’ apabila saya menyatakan hasrat tersebut.

“Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing setelah dua tahun berkahwin,” jelasnya.

Mereka sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di salah satu negeri di Pantai Timur.

Masing-masing memberikan alasan tidak ada keserasian antara satu sama lain sebagai punca mereka berpisah kepada ahli keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN