Berkesempatan membantu ahli jawatankuasa masjid (AJK) di sebuah surau bersempena program korban Hari Raya Aidiladha baru-baru ini dilihat satu sesi ukhuwah yang dapat menemukan para jiran tetangga yang sebelum ini sibuk dengan aktiviti harian sehingga tidak sempat bertegur sesama sendiri.
Pada sesi itu juga, komuniti yang jarang ke surau atau masjid dapat bertemu dengan Pak Imam dan cef-cef berpengalaman bersama kru dapurnya yang sentiasa bergotong royong menyediakan juadah kepada penduduk.
Bagaimanapun, itulah muka-muka lama yang sedia ada berbakti, turun padang untuk bergotong royong menyempurnakan apa juga majlis anjuran masjid dan surau manakala kelibat golongan muda pula boleh dibilang dengan jari.
Terdetik hati penulis, siapalah yang akan gantikan AJK sedia ada, Pak Imam, khatib dan juga tukang sembelih lembu serta kumpulan biasa yang akan melapah lembu dalam majlis korban untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang?
Jika tiada minat dalam kalangan orang muda di kawasan kejiranan itu turun padang belajar dan terlibat dalam aktiviti keagamaan pada masa depan, berkemungkinan besar program kebajikan dan juga majlis ilmu pada masa depan semakin kurang mendapat perhatian ramai.
Usaha perlu dilaksanakan untuk mengajak kumpulan muda menjadi pelapis dalam kumpulan AJK surau dan masjid, lebih penting lagi berilah mereka kebebasan untuk menganjurkan aktiviti melibatkan kumpulan muda selain menggunakan platform media sosial sebagai medium untuk mempromosikan segala aktiviti yang dijalankan.
Pilihlah mereka yang ada ilmu bukan sahaja dalam bidang agama, al-Quran tetapi juga arif dalam bidang digital, teknologi maklumat selain undang-undang dan juga perniagaan.
Beri kepercayaan kepada mereka untuk mengimarahkan, menceriakan masjid dan surau kerana melalui pendekatan moden, ia dapat menaikkan imej surau dan masjid sekali gus mampu menarik dana serta kutipan infaq dengan lebih mudah.
Kesungguhan beberapa Imam muda yang semakin popular di Masjid Madad, Sungai Petani, Masjid Al Busyra di Merbok dan juga Masjid Sedaka di Yan boleh dijadikan inspirasi kepada kumpulan
AJK di surau dan masjid di seluruh negara untuk mengubah corak pengoperasian agar ia boleh dijadikan pusat sehenti untuk semua program, perniagaan dan kemasyarakatan serta pelancongan.
Sokong dan bantulah mereka termasuk kumpulan anak-anak muda yang baru berjinak-jinak untuk membantu membangunkan institusi masjid serta surau dengan cara mereka sendiri kerana cara orang lama kini semakin tidak bersesuaian dengan gaya hidup masyarakat.














