KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan persiapan rapi melibatkan pelbagai jabatan dan unit sokongan menjelang perlawanan Malaysia menentang Vietnam, malam ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid berkata, pemeriksaan keselamatan akan dilakukan terhadap setiap penonton sebelum dan selepas pintu masuk.
Menurutnya, sebarang barangan terlarang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium demi menjamin keselamatan sepanjang perlawanan berlangsung.
“Antara barangan yang dilarang termasuk bahan letupan iaitu mercun, bunga api dan suar serta peralatan berbahaya seperti senjata tajam, topi keledar, termasuk objek keras serta laser, pembesar suara, dron dan gendang tanpa kebenaran rasmi.
“Selain itu, minuman keras, rokok atau rokok elektronik, pemetik api, powerbank, botol air, ais ketul, payung dan tongkat turut tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seramai 60,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi perlawanan antara Malaysia dan Vietnam sempena kelayakan Piala Asia 2027, hari ini.
Ridzuan berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan kekacauan, rusuhan atau provokasi keterlaluan semasa atau selepas perlawanan.
Dalam pada itu, katanya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan mengatur pergerakan lalu lintas di sekitar kawasan stadium sepanjang acara berlangsung.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam dan mengelakkan laluan berhampiran stadium jika tidak terlibat.
“PDRM turut mengingatkan semua pihak agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan serta mengamalkan sikap sabar dan berhemah ketika memandu.
“Kenderaan yang menghalang lalu lintas akan dikenakan tindakan saman dan ditunda tanpa kompromi,” katanya. – KOSMO! ONLINE