JAKARTA – Seekor lembu korban lari dari tempat penyembelihan sebelum bersembunyi di dalam balai polis di Tanjungpinang, wilayah Riau, lapor laman berita Batam Pos semalam.
Kejadian berlaku kelmarin ketika lembu berwarna coklat itu hampir disembelih di Masjid Almarhamah Batu 5.
Dalam sebuah video tular, haiwan tersebut dilihat berlari di tengah jalan sambil dikejar beberapa sukarelawan korban.
Ketika tiba di hadapan balai polis Tanjungpinang, lembu itu merempuh sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan sebelum masuk ke dalam kawasan balai.
Petugas Masjid Al Marhamah, Saiun berkata, kejadian berlaku pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) sebelum penyembelihan.
“Ia adalah haiwan korban terakhir yang kami sembelih. Belum pun sempat berbuat apa-apa, ia melompat dan melarikan diri.
“Alhamdulillah, kami kemudian berjaya menangkap lembu itu dan menyembelihnya,” kata Saiun. – AGENSI