fbpx

Nahas UPSI: Tergamam nampak mayat bergelimpangan, mangsa merangkak keluar bas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penyelamat dan pengguna jalan raya membantu mangsa yang terlibat kemalangan di Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pagi tadi. -Foto JBPM

KOTA BHARU – Saksi terawal yang berada di lokasi kejadian nahas mengorbankan seramai 15 mangsa di Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pagi tadi tergamam melihat mayat bergelimpangan di tepi jalan selepas kemalangan tersebut.

Seorang suri rumah, Noor Idayu Mad Rosip, 38, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.04 pagi itu, dia bersama keluarganya sedang dalam perjalanan dari Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang untuk pulang ke Pulau Pinang.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, dia melihat sebuah bas sudah terbalik dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza berada di dalam longkang.

“Kemalangan itu baru sahaja berlaku dalam tempoh beberapa minit yang lalu dan kami sekeluarga merupakan antara pengguna jalan raya terawal yang berada di lokasi kejadian.

“Saya tergamam melihat mayat bergelimpangan di kiri dan kanan jalan raya berhampiran sebuah bas yang sudah berada dalam keadaan terbalik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Noor Idayu yang merupakan isteri kepada pegawai polis memberitahu, dia juga melihat penumpang bas yang masih bernyawa merangkak keluar dari kenderaan tersebut dalam berlumuran darah.

Menurutnya, dia turut mendengar tangisan dan teriakan penumpang bas yang terselamat semasa mereka duduk di tepi kenderaan itu.

“Melihat keadaan yang sangat tragis itu, saya terus menghubungi talian kecemasan untuk menyalurkan maklumat.

“Jalan raya di lokasi kejadian ketika itu sangat sesak dan ada pengguna jalan raya yang berhenti untuk menghulurkan bantuan. Semasa saya bergerak ke arah Gerik, kenderaan kami sekeluarga berselisih dengan ambulans, bomba dan polis yang sedang dalam perjalananan ke lokasi kejadian,” ujarnya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, seramai 15 individu dilaporkan maut dalam nahas melibatkan sebuah bas dan MPV di Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Siasatan awal polis mendapati bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan hingga mengorbankan 15 pelajar UPSI merempuh belakang sebuah kereta jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, keadaan lokasi kejadian di Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik itu agak berliku, menurun dan gelap yang mengundang pelbagai kemungkinan punca kemalangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI