WYDAD AC adalah satu daripada empat wakil benua Afrika yang turut serta pada penganjuran Piala Dunia Kelab 2025 di mana mereka layak selaku juara Liga Juara-Juara Afrika 2021/22.
Tanpa meletakkan sebarang harapan luar biasa, Wydad seakan mahu melunaskan misi lebih penting untuk meningkatkan imej dan reputasi Maghribi dalam peta bola sepak dunia.
Jika pencapaian di peringkat benua menjadi perkiraan, Wydad memiliki reputasi cukup gah selaku juara tiga kali Liga Juara-Juara Afrika, Piala Super Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), Piala Afrika dan beberapa lagi pertandingan domestik lain.
Ketika ini, Wydad sudah mengumumkan Mohamed Amine Benhachem sebagai jurulatih baharu dan pengendali itu mula mengidamkan untuk menghasilkan impak lebih baik bersama pasukan.
“Objektif saya adalah untuk kembali ke Liga Juara-Juara CAF dan merebut kejuaraan. Projek kelab ini turut termasuk perkara lain dan semua ini pasti akan memacu pasukan ke arah lebihbaik di Piala Dunia Kelab,” katanya.
Berdasarkan rekod, Benhachem berjaya menghadirkan persekitaran lebih positif dalam pasukan dan sedang sedang menikmati kemenangan dalam tiga aksi terakhir liga domestik.
Walaupun tidak mempunyai peluang besar, kejutan yang pernah dipamerkan Maghribi yang layak ke separuh akhir Piala Dunia 2022 pasti menjadi azimat buat Wydad mencipta sensasi.
Penyerang sensasi, Mohamed Rayhi juga mahu menjadikan pencapaian luar biasa Maghribi sebagai pencetus semangat buat semua rakannya dan menganggap bola sepak terlalu subjektif untuk menentukan status pasukan.
Pencapaian Maghribi akan kekal sebagai pendorong utama buat Wydad untuk mengulangi kejayaan sama di peringkat kelab dan membuktikan negara itu tidak pernah takut untuk bersaing dengan lawan berstatus gergasi.
Wydad akan memulakan kempen Kumpulan G bertemu dua gergasi Eropah, Manchester City pada 19 Jun diikuti Juventus (23 Jun) dan Al Ain (27 Jun).
KUMPULAN G
WYDAD AC
Nama gelaran: Club of the Nation
Jurulatih: Mohamed Amine Benhachem
Kapten: Jamal Harkass
Tiket kelayakan: Liga Juara-Juara Afrika 2021/22.