PARIS – Pemain No. 1 dunia, Aryna Sabalenka menyifatkan kekalahannya di final Roland Garros sebagai aksi paling teruk sepanjang kariernya selepas tewas kepada bintang muda Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff malam tadi.
Bintang berusia 27 tahun itu gagal merebut gelaran Grand Slam keempat apabila tunduk 7-6 (7/7), 2-6, 4-6 dalam aksi penuh emosi yang menyaksikannya melakukan 70 kesilapan iaitu jumlah tertinggi dalam saingan perseorangan wanita edisi Terbuka Perancis musim ini.
“Saya sendiri sakit hati tengok permainan saya yang terlalu teruk. Ini final paling buruk pernah saya mainkan,” katanya selepas perlawanan di gelanggang Philippe Chatrier.
Sabalenka bermula cemerlang mendahului 4-1 dalam set pertama, namun gagal mengekalkan rentak apabila angin kencang mula mengganggu konsistensi pukulannya.
“Keadaan di gelanggang sangat teruk dan Gauff lebih baik mengawal situasi itu berbanding saya. Saya terlalu emosional dan gagal kawal diri.
“Dia bukan menang sebab main luar biasa, tapi kerana saya sendiri buat terlalu banyak kesilapan, malah daripada bola-bola yang sepatutnya mudah,” jelas Sabalenka. – AGENSI