KUALA LUMPUR – Impian Pearly Tan-M. Thinaah untuk mencipta sejarah sebagai beregu wanita Malaysia pertama menjuarai kejohanan bertaraf Super 1000 tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan No. 1 dunia, Liu Shengshu-Tan Ning di final Terbuka Indonesia 2025 sebentar tadi.
Pasangan No. 4 dunia itu terpaksa akur selepas bertarung sengit selama satu jam 27 minit sebelum tumpas 25-23, 12-21, 19-21 di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta.
“Memang perlawanan yang sukar untuk kami terima. Saya sedikit kecewa sebab dua mata terakhir itu datang daripada kesilapan saya sendiri. Dari awal saya dah ingatkan diri untuk kekal tenang, tapi bila dah sampai mata ke-19 dan 20, saya jadi agak gopoh,” kata Pearly
Aksi dramatik set pertama memperlihatkan kebangkitan luar biasa Pearly-Thinaah apabila mereka mencuri mata penamat 25-23, namun kehilangan rentak di set kedua yang dimenangi lawan 21-12.
Set penentuan berlangsung penuh debaran dengan Pearly-Thinaah terus memberi tekanan hingga ke hujung, sebelum tewas tipis 19-21 di depan penyokong Indonesia.
“Bagi saya, perkara paling positif hari ini ialah sokongan kami beri antara satu sama lain sepanjang perlawanan. Itu yang bantu naikkan semangat kami berdua sama ada kami ketinggalan atau sedang mendahului, kami tetap cuba saling berbual dan beri sokongan,” jelas Thinaah.
Kekalahan itu menafikan peluang mereka menggenggam gelaran kedua musim ini selepas muncul juara Terbuka Thailand bulan lalu sekali gus menangguhkan impian menjulang trofi Super 1000 pertama dalam karier.
Bagaimanapun, persembahan konsisten yang dipamerkan membuktikan mereka kini antara pencabar utama dalam arena beregu wanita dunia.
Musim ini menyaksikan mereka tiga kali mara ke pentas final bermula di Indonesia Masters (Januari), Terbuka Thailand (Mei) dan kini Terbuka Indonesia.
Sejak digandingkan secara tetap pada 2021, mereka telah meraih empat kejuaraan Jelajah Dunia BWF dan kini menghuni ranking kedua dalam senarai Jelajah Dunia. – KOSMO! ONLINE