PETALING JAYA – Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan orang ramai agar tidak menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa lembu korban.
Ini susulan penularan beberapa video tular di media sosial yang menunjukkan sisa seperti kulit, kaki dan organ dalaman dibuang ke dalam sungai.
“Setiap kali tibanya musim korban, amalan ibadah ini membuka ruang untuk kita berbuat baik, bukan saja sesama manusia, tetapi juga alam sekitar.
“Namun sayangnya, masih berlaku perbuatan membasuh najis dan perut lembu terus ke dalam sungai. Niat mahu membersih, tapi tindakan ini membawa lebih banyak mudarat daripada kebaikan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Menurut PHM, kaedah terbaik mengendalikan organ dalaman dan najis haiwan korban adalah dengan memilih kawasan yang jaraknya sekurang-kurangnya 50 hingga 100 meter dari sungai, longkang atau sumber air awam.
“Perut dan usus tidak boleh dibasuh di sungai. Sediakan lubang najis atau tong najis khas yang dikambus selepas digunakan.
“Najis dan organ buangan dikumpulkan dalam plastik hitam tebal dan dihantar ke tapak pelupusan.
“Sisa haiwan ditanam dalam lubang dalam, jauh dari sungai dan rumah. Jangan biarkan sisa terbuka atau dimakan haiwan liar. Sungai itu hidup, bukan tong sampah,” katanya. – KOSMO! ONLINE