JOHOR BAHRU – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha ini, Keluarga Diraja Johor berkenan mengurniakan sebanyak 230 ekor lembu untuk ibadah korban kepada golongan yang memerlukan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz berkata, kurniaan itu bukan sahaja bertujuan meringankan beban penerima tetapi turut menyemai perasaan kasih dan sayang sesama masyarakat.
“Menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, serta seluruh Keluarga DiRaja Johor atas kurniaan sebanyak 230 ekor lembu korban kepada rakyat Johor, khususnya kepada golongan yang memerlukan, sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Patik serta seluruh rakyat jelata sentiasa mendoakan semoga Tuanku sekeluarga sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah, dikurniakan kesihatan berpanjangan, dipanjangkan usia serta terus memimpin Johor Darul Ta’zim dan Malaysia dengan penuh kebijaksanaan, keamanan dan kemakmuran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, sumbangan tersenyum merupakan sebahagian semangat Aidiladha iaitu memperkukuh silaturrahim dan menyalurkan kebajikan kepada golongan memerlukan.
Beliau turut memberitahu Aidiladha bukan sekadar perayaan sebaliknya adalah detik bermuhasabah tentang keikhlasan berkorban, kekuatan bersabar dan semangat untuk terus menyatukan ummah demi kebaikan bersama. – KOSMO! ONLINE