DI sebalik tembok usang sebuah lorong belakang bangunan lama, kini terpapar lukisan mural penuh warna-warni yang mencuri perhatian.
Lukisan tersebut bukan sekadar hasil seni tetapi menjadi simbol kerjasama erat dua pihak yang berhasrat mengubah wajah bandar Manjung, Perak menjadi lebih ceria dan hidup.
Syarikat perlombongan Vale dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) April lalu memperkenalkan Dataran Doodle Art Manjung iaitu sebuah dataran baharu yang menampilkan deretan mural yang menarik dan penuh warna-warni di kawasan Manjung Lama.
Inisiatif ini bukan sahaja menyerikan lagi wajah bandar tersebut, malah memperkukuh identiti budaya unik daerah itu, selaras dengan visi pembangunan mampan negeri menerusi Perak Sejahtera 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif Vale, Leonardo Paiva berkata, inisiatif tersebut adalah kerjasama berterusan Vale dengan Majlis Perbandaran Manjung dalam mewujudkan ruang komuniti.

“Inisiatif ini melambangkan kerjasama berterusan kami dengan Majlis Perbandaran Manjung dalam usaha mencipta nilai murni untuk daerah ini serta memperindah ruang-ruang yang paling bermakna kepada komuniti.
“Rakyat dan tempat memainkan peranan penting dalam membentuk sesebuah komuniti.
“Justeru, dengan menyulam unsur budaya tempatan ke dalam ruang harian, kerjasama ini menyerlahkan komitmen kami dalam menyokong pembangunan mampan yang inklusif dan berteraskan komuniti, sambil meraikan warisan tempatan demi masa depan Manjung yang lebih ceria dan berdaya saing,” ujarnya.
Projek seni yang mengambil masa sebulan itu menampilkan tafsiran warisan dan budaya tempatan menerusi sentuhan moden dan berani dengan paparan suasana komuniti, tempat menarik di Manjung serta flora dan fauna dalam pancaran warna yang memukau menjadikan dataran tersebut sebagai tarikan baharu buat warga tempatan serta pengunjung dari seluruh negara.

Menyusuli usaha penambahbaikan yang terdahulu di Beruas, lukisan mural di Manjung Lama itu melambangkan satu fasa baharu dalam kerjasama antara Vale dan Majlis Perbandaran Manjung.
Ia bagi memperkukuhkan misi bersama untuk mewujudkan ruang yang memfokuskan kepada rakyat yang bersedia untuk masa hadapan, sekali gus memperkukuh imej Manjung sebagai daerah yang ceria, berbaloi dikunjungi dan memiliki potensi sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris berkata, Manjung Lama kaya dengan cerita yang penuh warna-warni dan lukisan mural itu menawarkan pendekatan baharu dalam berkongsi cerita tersebut kepada komuniti serta orang ramai.
“Kami berbangga dapat menyokong program yang bukan sahaja memperindah ruang komuniti tetapi turut menyerlahkan kreativiti bakat tempatan.
“Kerjasama bersama Vale membolehkan idea diterjemahkan kepada realiti, sekali gus membentuk Manjung sebagai destinasi yang sarat dengan karakter dan daya tarikan,” katanya.














