PARIS – Juara bertahan Terbuka Perancis, Carlos Alcaraz, mara ke final saingan tersebut selepas lawannya, Lorenzo Musetti terpaksa menarik diri akibat kecederaan paha kiri dalam aksi separuh akhir di Paris, awal pagi tadi.
Pemain Sepanyol berusia 22 tahun itu mendahului Musetti 4-6, 7-6, 6-0, 2-0 ketika pemain Itali itu meminta rawatan fisioterapi sebelum membuat keputusan menamatkan perlawanan lebih awal.
“Ia bukanlah cara terbaik untuk mara atau memenangi perlawanan. Lorenzo pemain hebat dan telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang musim tanah liat ini. Dia adalah salah seorang daripada pemain yang berjaya mara ke separuh akhir di semua kejohanan utama gelanggang tanah liat.
“Saya rasa hanya empat pemain yang pernah mencapainya sebelum ini. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya dan dapat menyaksikan aksinya semula tidak lama lagi,” katanya.
Alcaraz kini memegang rekod 6-1 dalam pertemuan menentang Musetti, termasuk dua kemenangan tahun ini di final Monte Carlo dan separuh akhir di Rom.
Hasil kemenangan itu, Alcaraz bakal berdepan pilihan utama dari Itali, Jannik Sinner yang berjaya membenam cabaran juara Grand Slam 24 kali, Novak Djokovic yang juga pilihan keenam. – KOSMO! ONLINE