MELAKA – Seekor lembu korban akan disumbangkan khusus kepada lima beradik mangsa kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di sini, sebagai tanda ingatan kepada adik-beradik mereka yang maut dalam kejadian 16 Mei lalu.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ibadah korban bagi lembu tersebut akan dilaksanakan di kawasan kediaman keluarga terbabit.
“Saya niatkan lembu ini untuk kelima-lima adik-beradik termasuk arwah yang meninggal dunia dan saya akan hadir pada hari raya kedua untuk bersama mereka menyaksikan ibadah korban itu dilaksanakan.
“Diharap sumbangan ini dapat memberi sedikit ketenangan kepada keluarga terbabit sempena Aidiladha serta menjadi bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap mangsa yang ditimpa musibah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Simbolik Penyerahan Lembu Korban Peringkat Parlimen Tangga Batu di Kompleks Japerun Tangga Batu, hari ini.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 30 ekor lembu korban diagihkan kepada 25 buah masjid dan surau di sekitar Parlimen Tangga Batu termasuk untuk Kem Terendak, Sungai Udang.
Pada 16 Mei lalu, Kosmo! melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di tingkat enam PPR berkenaan.
Mangsa merupakan anak keempat daripada lima beradik dan ditemukan dalam keadaan terbaring serta melecur di dalam salah satu bilik rumah berkenaan. – KOSMO! ONLINE