TAIPING – Sambutan Hari Raya Aidiladha esok amat bermakna buat seorang pekerja ladang sawit apabila terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini meminda pertuduhan membunuh kepada membunuh tanpa niat.
Lebih menggembirakan, Mohd. Nizam Shah Shahruddin, 40, dapat menyambut raya bersama keluarga kerana akan dibebaskan hari ini selepas Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun selepas tertuduh mengaku salah atas tuduhan pindaan.
Tertuduh berada dalam tahanan reman sejak enam tahun lalu.
Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta 12 sebatan, manakala Seksyen 304(b) KK pula hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, ketika mahkamah memutuskan hukuman itu, seorang warga emas dipercayai ibu tertuduh dilihat menitiskan air mata kesyukuran.
Hakim Noor Ruwena meminda pertuduhan ke aats Mohd. Nizam selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes itu mengikut Seksyen 302 KK.
Kata Hakim Noor Ruwena, walaupun pendakwaan gagal membuktikan kes, namun mahkamah berpuas hati dengan fakta bahawa Mohd. Nizam terlibat bersama beberapa individu lain untuk mencederakan Chua Teng Wooi kerana marah dengan perbuatan lelaki itu dan mahu memberi pengajaran kepadanya.
“Dengan mengambil kira keterangan pihak pendakwaan dan keterangan tertuduh, mahkamah mendapati mangsa meninggal dunia akibat perbuatan tertuduh dan beberapa orang lain tanpa niat.
“Kecederaan serius pada paru-paru menyebabkan kematian mangsa, tetapi doktor tidak boleh mengenal pasti siapa yang menyebabkan kematian itu. Jadi keterangan ini datang daripada keterangan yang lain-lain.
“Oleh yang demikian, mahkamah menggunakan kuasa di bawah Seksyen 158 Kanun Acara Jenayah dan meminda pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (b) kanun sama,” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan, Mohd. Nizam didakwa bersama beberapa orang yang tidak dituduh menyebabkan kematian Teng Wooi, 41, di Sel A10 Tahanan Reman Penjara Taiping pada pukul 9.30 malam, 29 Ogos 2019. – KOSMO! ONLINE