KUALA LUMPUR – Padah menghalang tugas anggota polis ketika ditahan semasa pemeriksaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), lima tahun lalu seorang penganggur didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Faisal Suhaimi, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama sebulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Faisal didakwa dengan sengaja menghalang Sarjan Muhammad Shahreen Rusli, 28, daripada menjalankan tugas di Jalan Genting Klang, Wangsa Maju di sini pukul 4.45 petang pada 1 Jun 2020.
Justeru pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian semasa pengadu bersama-sama rakan setugas telah membuat pemantauan PKPB, pengadu telah menahan tertuduh dan rakannya kerana berada dalam keadaan mencurigakan pada waktu tersebut.
Tertuduh dan rakannya secara tiba-tiba melarikan diri dengan motosikalnya. Semasa ditahan tertuduh telah bergelut dengan pengadu dan rakan setugasnya. – KOSMO! ONLINE