PADANG BESAR – Polis sedang menyiasat tindakan seorang lelaki mencampakkan trofi dan baju berlogo rasmi sambutan Jubli Perak Raja Perlis ke dalam longkang seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Sarih Salleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada Ahli Majlis Perbandaran Kangar berhubung kejadian itu pada pukul 2.17 petang tadi.
“Lelaki itu didapati memuat naik rakaman perbuatannya pada pukul 8 malam, 3 Jun lalu melalui platform media sosial miliknya.
“Video itu memaparkan suspek mencampakkan tiga buah trofi dan sehelai baju ke dalam longkang dipercayai kerana tidak puas hati dengan penganjur acara,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Sarih, barang-barang itu dipercayai merupakan hadiah buat pemenang pertandingan kereta berhias sempena Perlis Perodua Day yang berlangsung di Stadium Kangar dari 29 Mei hingga 1 Jun lalu.
“Pihak kami memandang serius perbuatan itu kerana trofi dan baju tersebut mengandungi logo rasmi sambutan Jubli Perak Raja Perlis. Tindakan itu disifatkan sebagai biadab dan tidak sopan terhadap institusi diraja negeri ini,” katanya.
Menurut beliau, siasatan bagaimanapun mendapati suspek sudah memadam video itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka sebelum laporan polis dibuat.
“Suspek mendakwa dia bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan pertukaran rekaan baju yang diwajibkan penganjur selain mendakwa semua trofi adalah seragam untuk setiap pemenang,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana dengan niat mengaib dan menyalahgunakan kemudahan rangkaian. – KOSMO! ONLINE