Bagi pemancing dari Malaysia, anda tidak perlu risau untuk berkunjung ke Empangan Bang Lang di daerah Yala, Selatan Thailand ini kerana majoriti penduduk sekitar beragama Islam dan ramai fasih berbahasa Melayu. Jadi soal makan minum bukanlah masalah utama.
Salah satu tarikan pelancong yang mampu menjana hasil pendapatan penduduk tempatan adalah aktiviti memancing. Tujuan utama pemancing ke sini tidak lain tidak bukan untuk memburu ikan ‘serigala’ sungai iaitu sebarau.
Boleh dikatakan hampir setiap minggu pengilat-pengilat dari Malaysia
akan hadir menduga ikan idaman ini.
Perjalanan
Perjalanan ke empangan ini dari Kuala Lumpur memakan masa selama lima jam untuk tiba di pekan Pengkalan Hulu di sempadan Malaysia-Thailand. Setelah selesai urusan imigresen, anda akan melalui pekan Betong yang merupakan tempat terakhir sebelum tiba di Empangan Bang Lang.
Satu lagi perkara menarik di sini adalah kemudahan liputan rangkaian mudah alih terdapat di seluruh Yala termasuk di dalam kawasan empangan.
Anda boleh membeli sim kad Thailand di kaunter imigresen atau di pekan Betong.

Di pekan ini juga, pemancing biasanya akan bersarapan dan membeli barang keperluan asas sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi kerana tiada lagi bandar lain selepas itu.
Perjalanan dari sini memakan masa selama satu jam sebelum sampai ke empangan melalui kawasan perkampungan dengan pemandangan pergunungan yang sangat indah dan tenang.
Terdapat beberapa pakej disediakan pengusaha bot di sini untuk kemudahan pengunjung. Anda boleh memilih untuk menginap di rumah rakit, pontun terapung atau di chalet yang banyak terdapat di sini.
Saya sudah beberapa kali berkunjung ke sini dan lebih gemar menginap di atas pontun terapung kerana dapat beramah mesra dengan ahli kumpulan yang lain.
Ini kerana di atasnya tidak berbilik dan kami akan tidur secara terbuka. Paling penting, terdapat kedai runcit bersebelahannya.
Lain keadaan di tanah air kita, di Bang Lang tiada bot fiber digunakan, sebaliknya tekong menggunakan bot kayu berenjin ekor biawak untuk aktiviti memancing.
Sesi pancingan
Kebiasaannya, kaki pancing akan memilih trip tiga hari dua malam dan segala kos termasuk dengan bot memancing, penginapan, makan serta minum. Sesi pancingan pula seperti biasa dari pukul 7 pagi sehingga lewat petang.
Di sini, anda tidak perlu tergesa-gesa keluar awal untuk mulakan sesi pancingan kerana tiada ikan pemangsa seperti toman, tapah dan lain-lain. Ini membuatkan ikan sebarau menjadi pemangsa dominan.

Selain ikan sebarau, terdapat juga pelbagai spesies ikan lain seperti haruan, patin, kalui, baung, lampam dan tilapia. Uniknya, terdapat satu spesies seakan ikan jenjulung dengan taburan yang banyak di serata pelusuk tasik.
Penduduk tempatan mengelarnya ‘pla bin’ dan ia merupakan makanan utama ikan sebarau di sini. Ikan ini sering kelihatan melompat-lompat di permukaan air akibat dihambat kumpulan sebarau yang rakus mencari makanan.
Ketika inilah para pemancing mengambil kesempatan untuk melontar gewang ke arah kawanan tersebut.
Kaedah pancingan
Menariknya, ikan sebarau di empangan ini lebih mengemari gewang permukaan (topwater) seperti pencil dan popper.
Ini kerana makanan utamanya adalah ikan jenjulung air tawar yang banyak berlegar di permukaan air.
Ikan sebarau di sini bergerak dalam kumpulan yang besar, dan sering kali kelihatan frenzy di permukaan air, tidak kira masa. Sebab itu, ikan sebarau Bang Lang boleh ditawan tidak kira masa dan tempat.
Namun seperti biasa, awal pagi dan lewat petang sudah semestinya masa yang paling ideal kerana keadaan permukaan tasik yang tidak berangin.
Berbeza dengan Semenanjung Malaysia, kawasan pancingan di sini kurang pokok-pokok tumbang atau kawasan bereba.
Kebanyakan tangkapan diperolehi di kawasan tanjung, samai dan sekeliling pulau.

Saiz tangkapan juga amat berbeza kerana ikan sebarau bersaiz sekilogram masih banyak dan dianggap tangkapan normal.
Keadaan sekeliling tasik
Empangan Bang Lang dikelilingi hutan tebal yang berbukit-bukau. Ia juga merupakan kawasan penempatan untuk penduduk sekitar daerah Yala. Penduduk tempatan juga ramai yang mengusahakan tanah yang berbukit ini untuk bercucuk tanam.
Jika kena dengan masa, hasil kampung seperti petai, durian dan buah-buahan lain boleh dibeli daripada pengusaha kebun.
Paling menarik, jika rasa lapar atau dahaga, anda boleh singgah sebentar di warung di kawasan perkampungan untuk menikmati juadah seperti kuih, mi celup dan air batu campur, semuanya enak belaka.
Kesimpulan
Anda boleh memilih untuk melepaskan kembali atau membawa pulang ikan-ikan tersebut. Pihak Kastam Malaysia adakalanya akan mengenakan cukai hasil tangkapan.
Cukai yang dikenakan tidaklah banyak, sekitar RM10 hingga RM20 bergantung pada hasil tangkapan.
Jika bernasib baik, mereka hanya ingin melihat tangkapan dan kemudian membenarkan kita meneruskan perjalanan.
Kemudahan yang disediakan di pontun terapung, rumah rakit dan chalet adalah sangat asas. Keadaan cuaca akan menjadi sejuk di kala tengah malam hingga ke pagi.
Anda dinasihatkan untuk membawa segala keperluan seperti ubat-ubatan dan pakaian yang bersesuaian secukupnya.
Saya juga ingin menasihatkan supaya jangan membuang sampah dan puntung rokok ke dalam empangan.
Anda perlu menjaga kelestarian kawasan sekitar dan menunjukkan contoh serta adab yang baik kepada penduduk kampung.
Kepada pemancing yang ingin mencari rekod, empangan ini masih ada ikan-ikan sebarau yang berskala tiga hingga ke empat kilogram, cuma masa dan tempat yang akan menentukannya.
Ramai juga pemancing kita yang sudah berjaya mendapatkan rekod tangkapan mereka di sini.














