GEORGE TOWN – Peniaga durian di negeri ini dikatakan tiada pilihan lain dan terpaksa menjalankan perniagaan pada Hari Raya Korban, Sabtu ini semata-mata mahu menunaikan permintaan peminat raja buah terutama dari luar Pulau Pinang.
Pengusaha Gerai Jomi Durian Balik Pulau, Johan Abu bakar, 40, berkata, dia yakin berlaku peningkatan terhadap tempahan durian daripada pelanggan antara 50 hingga 60 peratus pada minggu ini.
Menurutnya, dia ketika ini sudah pun menerima tempahan buah durian daripada pengunjung dari Kuala Lumpur dan Ipoh untuk dimakan pada hari raya korban di gerainya, Sabtu ini.
“Pelanggan terbabit akan datang bersama keluarga sempena cuti raya dan mahu menikmati durian asli dari Balik Pulau.
“Mereka datang ke sini bukan untuk beraya di rumah sanak-saudara tetapi sekadar mahu merasai kenikmatan raja buah di daerah ini (Balik Pulau).
“Kali ini, sambutan yang diterima sangat luar biasa dan tempahan juga mula meningkat pada minggu ini. Gerai tetap dibuka selepas kami selesai solat sunat Hari Raya Aidiladha,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Dalam pada itu, katanya lagi, dia akan menyediakan kira-kira 15 hingga 20 bakul berisi durian pelbagai jenis pada setiap hari termasuk hari raya nanti.
“Setiap bakul berisi kira-kira 40 hingga 50 kilogram durian, iaitu mengandungi sebanyak 25 hingga 26 biji setiap bakul.
“Durian yang dipasarkan adalah jenis udang merah, horlor, musang king, black thorn, ang jie dan kompo isi merah dan kuning. Semua buah ini akan diasingkan dalam setiap raga termasuk yang premium,” katanya dia juga menerima tempahan secara penghantaran ke rumah.
Tambahnya, durian udang merah dan horlor yang dipasarkan pada harga RM38 hingga RM50 sekilogram kali ini menjadi pilihan utama penggemar berbanding buah premium.
Sementara itu, seorang lagi peniaga durian Balik Pulau, Kenny Soong Joon Sin, 50, pula berkata, cuti sekolah ini dianggap sebagai ‘durian runtuh’ buat pengusaha termasuk pemilik dusun durian.
















