fbpx

Malaysia sedia tawar bantuan melalui pelaksanaan MTCP pada Guinei-Bissau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar bersama Embalo pada sidang akhbar sempena lawatan rasmi Presiden Guinea-Bissau di Bangunan Perdana Putra, hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Malaysia bersedia menawarkan bantuan kepakaran melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) serta pelaksanaan program berskala besar kepada Guinei-Bissau dalam usaha mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan kepakaran melalui MTCP itu akan diselaraskan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Selain itu, katanya, Malaysia turut melihat Guinea-Bissau sebagai rakan berharga serta menjadi pintu masuk bagi meluaskan hubungan ke seluruh benua Afrika.

“Saya percaya lawatan ini akan membuka ruang kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan, pelaburan dan pembangunan industri. Saya juga mengalu-alukan penglibatan syarikat utama seperti Petronas, FGV Holdings Berhad (FGV) dan lain-lain untuk meneroka peluang di Guinea-Bissau dan sebaliknya.

“Ia bukan sahaja di peringkat kebangsaan (penglibatan syarikat), tetapi juga sebagai pangkalan untuk pengembangan yang lebih luas,” katanya pada sidang akhbar bersama Presiden Guinea-Bissau, Jeneral Umaro Sissoco Embalo di sini tadi.

Embalo mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari bermula semalam ke Malaysia selain diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Menerusi pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai beberapa bidang utama seperti industri halal, perbankan Islam serta kerjasama dalam bidang akademik dan industri merangkumi sektor semikonduktor, minyak dan gas serta teknologi makanan.

Menurut Anwar, pendekatan diplomatik yang diambil Malaysia juga dilihat selari dengan visi Guinea-Bissau apabila mengamalkan dasar luar yang seimbang dan berkecuali.

“Presiden Embalo mempunyai hubungan yang baik dengan negara-negara seperti Emiriah Arab Bersatu, Perancis, Rusia, Amerika Syarikat dan khususnya negara-negara di benua Afrika.

“Sebagai sebuah negara mengamalkan dasar luar yang seimbang dan berkecuali, Malaysia dan ASEAN telah lama menjalin hubungan dengan negara-negara di seluruh dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI