BALIK PULAU – Penggemar durian tidak mahu melepaskan peluang berkunjung ke negeri ini sempena musim cuti sekolah bagi ‘memburu’ raja buah yang mula gugur sejak dua minggu lalu.
Tinjauan Kosmo! di sekitar laluan utama dari Teluk Bahang ke Balik Pulau, Anjung Indah ke George Town kelmarin mendapati berlaku kesesakan apabila orang ramai berhenti di gerai-gerai durian termasuk di tepi jalan.
Penjual durian tempatan Balik Pulau, Mohd. Hilmi Che Rose berkata, sambutan kali ini amat menggalakkan terutamanya sejak bermulanya cuti sekolah dan cuti umum yang jatuh serentak.
“Sambutan sangat baik. Setiap hari kami boleh habiskan sehingga sepuluh bakul durian. Sekarang orang memang tengah ‘gila durian’,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, gerainya yang dikenali dengan nama YB Durian Balik Pulau itu terletak di kaki bukit berhampiran Jalan Bukit Penara mula dibuka sejak dua minggu lalu dan beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 9 malam.
“Durian yang dijual di gerai saya adalah 100 peratus hasil dari kebun sekitar Balik Pulau tanpa campuran buah luar. Kita memang jual buah tempatan sahaja. Habis musim, habislah jualan. Tak ada simpan-simpan,” ujarnya.
Mengulas tentang jenis durian yang dijual, Hilmi berkata, lebih daripada 10 jenis durian dijual di gerainya dan antara yang menjadi rebutan pelanggan ialah Black Thorn, Musang King, 338, Siahong, dan Polo.
“Pelanggan sekarang paling banyak cari Black Thorn dan Musang King. Harganya pula ikut gred, contohnya Musang King gred B sekitar RM60 hingga RM65, manakala gred A boleh mencecah RM75. Black Thorn pula antara RM80 hingga lebih RM90,” katanya.
Tambahnya, walaupun terdapat khabar angin tentang buah kurang musim ini, namun bekalan masih mencukupi.
“Musim durian dijangka berlanjutan sekitar sebulan lagi bergantung kepada cuaca,” ujarnya.
















