MELAKA – Seorang lelaki warga India dipenjara enam tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kekasihnya, dua tahun lalu.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S.Sakthivel, 30, yang menukar pengakuannya kepada bersalah dalam sebutan kes hari ini.
Beliau bagaimanapun memerintahkan agar hukuman tersebut dilaksanakan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 4 Disember 2023 dan dijalani bersama sesi kaunseling.
Mengikut pertuduhan, Sakthivel didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang sewaktu kejadian berusia 11 tahun di kira-kira pukul 10.30 malam di Taman Kenanga Seksyen 3, pada 24 November 2023.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Mengikut fakta kes, sebelum kejadian tertuduh bersama kekasihnya yang mempunyai tiga orang anak telah bersiar-siar di Pantai Klebang.
Tertuduh kemudian telah menginap di rumah kekasihnya itu dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa ketika wanita terbabit sedang tidur di dalam biliknya.
Lelaki tersebut turut mengugut mangsa supaya merahsiakan perkara itu sebelum dia ditangkap.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Peguam K.Shareveen yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan tertuduh telah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan, selain ingin pulang ke negara asalnya untuk menjaga dua adik perempuannya di sana. -KOSMO! ONLINE.