SUNGAI BULOH – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz keluar daripada parti merupakan keputusan peribadi, sekali gus menjelaskan karakter yang dimiliki.
Mohamed Khaled berkata, UMNO tidak boleh menghalang, namun apa pun keputusan dilakukan, perlu ada hormat-menghormati di antara komponen yang ada di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Dia (Tengku Zafrul) keluar UMNO dan ingin sertai PKR itu keputusan dia. Parti memang tak boleh nak menghalang tetapi setiap tindakan sesiapa pun, itu menunjukkan karakter (sebenar) dan sebagainya.
“Kerajaan yang ada (hari) ini adalah hasil gabungan parti-parti yang bersetuju untuk membentuk Kerajaan Perpaduan. Sewajarnya, perlu ada hormat-menghormati di antara parti-parti yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia, Program Recognition of Prior Experiantal Learning (RPEL) dan Sijil Perhebat, di sini hari ini.
Berhubung tuntutan tujuh kuota menteri milik UMNO susulan tindakan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) itu, Mohamed Khaled berkata, perbincangan peringkat parti akan dilakukan.
“Itu kita (akan) berunding peringkat parti. Kita tak payah runding melalui press (media),” ujarnya.
Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui prerogatif yang dimiliki, akan dapat mengembalikan kuota tersebut kepada UMNO. – KOSMO! ONLINE