Baru-baru ini tular di media sosial seorang lelaki yang memandu kereta Perodua Bezza hanya berkain pelekat tanpa memakai baju mengeluarkan senjata dan bersilat dengan berdepan seorang lelaki yang dilihat cuba membalas dengan tumbukan.
Kejadian di Lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Plaza Tol Bukit Tambun arah Selatan, Seberang Perai, Pulau Pinang itu bagaimanapun berjaya ditenteramkan oleh seorang pengguna jalan raya lain.
Insiden yang berlaku pada pukul 5.15 petang itu membabitkan dua kereta yang dilanggar dari belakang sehingga membawa pertengkaran dan kerosakan harta benda.
Sebenarnya banyak lagi kes seumpama itu yang berlaku saban hari disebabkan sikap tidak sabar pengguna jalan raya baik pemandu kereta atau penunggang motosikal dengan bertindak mengikut perasaan berkemungkinan stres berada terlalu lama di atas jalan raya.
Sikap sopan santun dan berhemah tinggi kebanyakan rakyat negara ini hilang sekelip mata apabila memegang stereng ketika memandu, seolah-olah dunia ini kita yang punya dan melihat hanya kita yang betul, apa orang lain buat semua tidak kena.
Jika setiap hari tersangkut dalam kesesakan jalan raya sedikit sebanyak boleh menjejaskan kesihatan mental bagi sesetengah orang kerana bukan sahaja badan menjadi penat, minda juga menjadi tidak stabil.
Dalam hal ini, kita akan cepat naik angin dengan pengguna jalan raya lain yang dilihat memandu dalam keadaan tidak sepatutnya, hatta mereka yang memandu perlahan pun turut menerima sumpah seranah kerana kita menganggap hanya diri sendiri yang betul.
Keadaan akan menjadi lebih parah jika berlaku kemalangan, contohnya kereta dilanggar dari belakang, lagi ‘menyirap’ darah dibuatnya hingga boleh berlaku kejadian tidak diingini seperti bergaduh, bertumbuk dan sebagainya.
Inilah yang mungkin berlaku kepada lelaki yang bersilat di Plaza Tol Bukit Tambun tersebut yang tidak dapat mengawal perasaan, terus keluar bersilat dan perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana ia bukan sahaja memalukan diri sendiri, malahan mendapat cemuhan ramai.
Hal ini tidak pelik sebenarnya kerana sudah menjadi lumrah manusia tidak boleh berfikir secara waras apabila berada di bawah tekanan lebih-lebih lagi bila terlalu lama dalam kesesakan lalu lintas di jalan raya.
Sepatutnya kita perlu bersabar sedikit bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini seperti mencederakan orang lain yang sudah pasti membawa implikasi lebih buruk seperti boleh didakwa di mahkamah dan sebagainya.
Lagipun, perlu diingat pada zaman media sosial sekarang, setiap tindakan kita mungkin dirakam dan jika ini terjadi, sudah pasti akan memalukan bukan sahaja diri sendiri, malahan keluarga juga terpalit sama.
Justeru, sebelum bertindak fikir-fikirkanlah natijah yang bakal dihadapi nanti. Mari bersama-sama kita menukar stigma bahawa orang jadi kurang ‘waras’ bila memegang stereng kepada pemandu lebih berhemah dan mempunyai kesabaran tinggi.
Apa yang penting kita mahu berubah ke arah lebih baik kerana tidak rugi berbuat demikian untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain di sekeliling kita.














