KUALA LUMPUR – Kerajaan di bawah naungan dan titah pandu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan terus komited melaksanakan agenda reformasi menyeluruh berpaksikan prinsip-prinsip Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan kebendaan semata tidak mencukupi malah ia mesti diseimbangkan dengan nilai-nilai manusiawi, keadilan sosial dan karamah insaniah.
Beliau berkata, pembangunan prasarana dan infrastruktur bukan hanya terbatas pada Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Rangka Tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sahaja.
“Namun kemudahan awam dan perkhidmatan rakyat terus diberi perhatian malah sekolah-sekolah diperbaiki, hospital dinaik taraf, jaringan pengangkutan ditingkatkan.
“Rakyat tidak hanya dijanjikan harapan, tetapi juga dibela secara nyata dan berterusan,” katanya ketika berucap di Istana Negara sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, strategi untuk meningkatkan pendapatan rakyat terus digerakkan melalui reformasi struktur ekonomi, kemasukan pelaburan berkualiti tinggi, pemerkasaan usahawan kecil dan sederhana, serta pengukuhan ekosistem teknologi dan inovasi.
Ujarnya, setiap anak watan harus berpeluang untuk maju, tanpa mengira latar belakang kaum atau budaya kerana kestabilan dan perpaduan nasional adalah syarat asas kepada segala kemajuan.
“Dalam dunia yang cepat berubah dan sarat cabaran, perpaduan bukan pilihan namun ianya adalah keperluan.
“Justeru, segala usaha memperkukuh integrasi nasional akan terus diperkasa, demi memastikan tiada sesiapa pun terpinggir dalam perjalanan menuju masa depan yang lebih baik,” ujarnya.
Di penghujung ucapan, Anwar menjunjung kasih atas pemerintahan Seri Paduka Baginda yang bijaksana, dan yang sentiasa menjadi lambang penyatuan dan keluhuran negara.
“Semoga Allah terus memberkati pemerintahan Tuanku, menganugerahkan keteguhan dan kesihatan berpanjangan kepada Duli Yang Maha Mulia.
“Seluruh rakyat menzahirkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda, serta memperteguh ikhtiar bersama demi kemajuan dan kesejahteraan tanah air tercinta. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku,” katanya. – KOSMO! ONLINE