KUALA LUMPUR – Kolam, tasik dan lombong terbiar di sekitar Lembah Klang yang berhampiran kawasan perumahan hanya menunggu masa untuk ‘menelan’ mangsa kerana dibiarkan tanpa berpagar serta pemantauan.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang khuatir ia menjadi perangkap maut terutama kepada kanak-kanak dan remaja yang sering menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat bermain.
Dalam tempoh lima bulan tahun ini, lima orang telah terkorban termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang lemas di dalam kolam buatan di Presint 17, Putrajaya pada 5 Mei lalu.
Tinjauan Kosmo! di sebuah kolam berhampiran Taman Sri Murni, Selayang dekat sini mendapati, sebahagian pagar di kawasan tersebut telah dirobohkan, sekali gus memudahkan orang ramai mencerobohnya.
Seorang penduduk Flat Blok 60 di taman itu, Bayu Sukma Ramadan Basdinal, 38, berkata, dia sering melihat kanak-kanak bermain air di kolam tersebut termasuk pada waktu malam.
“Saya risau sangat apabila nampak budak-budak main air di situ. Pagar sudah lama terbuka, malah tempat itu turut dijadikan tempat minum arak dan hisap dadah,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, usaha menegur kanak-kanak supaya pulang ke rumah sering kali tidak diendahkan kerana tiada pengawasan daripada pihak berkuasa.
Seorang lagi penduduk, Khairuddin Mohd. Yusof, 65, berkata, kolam itu sebelum ini lengkap dengan lampu dan papan tanda larangan masuk, namun kini semuanya lenyap.
“Budak-budak bermain siang malam di kolam itu.
“Saya juga risau dengan keadaan tanah di sekitar kolam yang tidak stabil dan berisiko mengalami tanah jerlus,” katanya.

Biarpun terdapat papan tanda larangan memancing, namun masih ada individu yang menceroboh tasik ini di Taman Templer Suasana, Rawang.
Azizan Abdul Aziz, 56, pula berkata, pengawasan pihak berkuasa amat penting kerana pagar sahaja tidak mampu menghalang kemasukan penceroboh.
“Pagar boleh dirobohkan, tapi kalau ada orang yang pantau atau ronda, sekurang-kurangnya risiko dapat dikurangkan. Keselamatan anak-anak ini bukan perkara kecil,” katanya.
Ujarnya, walaupun ada penduduk dewasa menggunakan kawasan itu untuk memancing, tetapi risiko bahaya tetap wujud.
Tinjauan di kawasan Taman Templer Suasana, Rawang pula, Kosmo! mendapati, sebuah tasik berhampiran taman perumahan juga terdedah risiko yang sama.
Meskipun terdapat papan tanda amaran larangan memancing, kanak-kanak dilihat masih memancing di tasik tersebut tanpa pengawasan ibu bapa.
Sebuah lagi kolam terbiar turut dikesan berhampiran Jalan Rawang di Rawang yang menjadi tumpuan kaki pancing.
Seorang pemancing, Mohd. Wafiey Izham Mohd. Salleh, 32, berkata, kawasan seperti itu tidak seharusnya dibiarkan tanpa pemantauan.
“Kolam terbiar seperti ini berbahaya kerana ia berhampiran hutan. Kita bimbang jika kanak-kanak atau remaja yang datang memancing di sini,” katanya.
Tinjauan Kosmo! di Putrajaya pula mendapati sekurang-kurangnya terdapat tiga kolam terbiar di pusat pentadbiran itu dan salah satunya telah meragut nyawa seorang kanak-kanak berusia 12 tahun pada 5 Mei lalu.
Kolam-kolam terbabit antaranya dikenal pasti berada di lokasi berdekatan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Kasturi selain PPAM Ketumbar dan PPAM Selasih.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kewujudan kolam-kolam terbabit mungkin berupaya membawa risiko kemalangan seperti kejadian lemas jika tiada tindakan pencegahan awal serta tindakan untuk meningkatkan keselamatan di kawasan tersebut diambil pihak berkuasa.
“Jadi, kita tidak mahu perkara seperti itu berulang jika kawasan kolam-kolam seperti itu dapat diakses dengan mudah.
“Bagaimanapun, selepas kejadian itu, pihak berkuasa telah mengambil tindakan segera dengan menimbus kolam terbiar tempat berlakunya kejadian lemas tempoh hari, sekali gus mengurangkan risiko kejadian yang sama berulang” katanya.
Radzi berkata, beliau telah berhubung dengan pihak berkaitan agar tindakan segera diambil bagi meningkatkan aspek keselamatan di kawasan kolam terbiar atau kolam takungan yang lain.
“Setakat ini, kolam takungan berdekatan PPAM Ketumbar telah dipasang pagar, manakala di kawasan berdekatan PPAM Selasih, ia berada di kawasan terbuka.
“Jadi, melihat kepada risiko keselamatan di kawasan berkenaan, saya meminta agar pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera untuk melaksanakan kerja penambahbaikan.
Pada masa sama, Radzi juga meminta agar pihak berkenaan melaksanakan pemantauan keselamatan secara lebih ketat demi memastikan keselamatan penduduk Putrajaya lebih terjamin.
Selain itu, ramai penduduk yang ditemui Kosmo! berharap agar pihak berkuasa segera turun padang dan menilai semula tahap keselamatan di kolam-kolam terbiar yang kini menjadi seperti ‘perangkap maut’ di tengah-tengah komuniti.
Antara cadangan yang dikemukakan mereka termasuk pembinaan semula pagar konkrit, pemasangan lampu, papan tanda amaran serta rondaan keselamatan secara berkala.
Selain itu, kolam terbiar yang tidak mempunyai sebarang fungsi perlu ditimbus segera.














