fbpx
Langkawi terkenal dengan keindahan pulau dan alam semulajadinya.

Harga perlu murah jika mahu Langkawi setanding Hatyai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Penggiat industri pelancongan di Pulau Langkawi perlu lebih giat mempromosikan produk pada harga rendah bagi menepis dakwaan pihak tertentu yang melabelkan pulau itu sebagai destinasi pelancongan ‘ka­yangan’.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, langkah tersebut diyakini dapat menarik lebih ramai pelancong ke pulau itu.

“Inilah masanya untuk mereka mempromosikan pakej-pakej pada harga berpatutan serta menawarkan perkhidmatan terbaik yang mana ia mampu memperbetulkan persepsi rakyat terhadap Langkawi.

“Kita tengok hari ini pelancongan Langkawi agak terjejas, tidak seperti dahulu sebab terdapat cerita yang kurang menyenangkan iaitu pulau itu menjadi tempat pelancongan yang mahal,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Katanya, tawaran harga menarik termasuk untuk penginapan, kenderaan sewa dan makanan dapat memberikan imej baharu yang lebih positif kepada industri pelancongan Langkawi.

“Penggiat industri terlibat boleh mempromosikan produk dan perkhidmatan ditawarkan di media sosial masing-masing. Saya yakin Langkawi akan menjadi pilihan utama rakyat tempatan melancong berbanding Hatyai jika produk ditawarkan menarik dan berpatutan,” ujarnya.

Jelasnya, penggiat industri boleh menawarkan harga promosi pada musim cuti sekolah dan juga semasa berlangsung program besar seperti Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa 2025 (LIMA’25) baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, kala­ngan pengguna perlu berhati-hati dengan tawaran pakej pelancongan pada harga murah kerana dikhuatiri dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Pengguna perlu berhati-hati kerana sebelum ini ada kes pelancong ambil pakej pelanco­ngan pada harga murah tetapi bila sampai sana (Langkawi), ia sebenarnya tidak wujud.

“Kita percaya ia didalangi oleh pihak luar yang mahu ambil ke­sempatan, bukan orang Langkawi,” katanya.

Justeru, beliau meminta pengguna agar dapat membuat tempahan dengan pihak pengendali yang sah selain meminta rekomendasi daripada mereka yang pernah melancong ke Langkawi.

“Apa pun buat perancangan awal bagi mengelak ditipu, selain memastikan percutian kita di Langkawi dalam keadaan selesa dan menyeronokkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN