LONDON – Arsenal bakal dihimpit satu lagi kekecewaan apabila prospek penjaga gol yang diidamkan oleh pengurusnya, Mikel Arteta, Joan Garcia dikatakan sudah menyatakan persetujuannya untuk menyertai Barcelona.
Sekiranya perpindahan Garcia ke Barcelona menjadi realiti, ia akan menjadi kegagalan kedua berturut-turut buat The Gunners selepas gagal mendapatkan penjaga gol berpotensi besar itu pada musim panas sebelum ini.
Garcia dilaporkan akan terus kekal di Sepanyol apabila menyatakan persetujuan dengan klausa pelepasan berjumlah £21 juta (RM120.4 juta) yang bakal dinoktahkan oleh Barcelona dalam tempoh terdekat.
“Saya masih mampu bertenang, banyak perkara yang akan datang, namun sekarang saya mahu berehat. Perkara ini bukan bergantung kepada saya sahaja tetapi ia juga membabitkan kepentingan kelab.
“Saya pemain Espanyol, jika mereka merasakan bagus buat semua pihak, ia pasti akan diputuskan. Kini saya fokus kepada perasaan dan orang di sekeliling saya,” kata Garcia.
Pemain berusia 24 tahun itu cemerlang bersama Espanyol hingga dilabel sebagai salah seorang penjaga gol terbaik di saingan La Liga.
Ia secara tidak langsung menarik minat Arteta untuk mendapatkan khidmatnya sebagai penjaga gol kedua Arsenal selain mampu mewujudkan persaingan sihat dengan pilihan utama, David Raya.
Garcia merekodkan aksi menyelamat paling banyak di La Liga sebanyak 146 kali, lebih banyak berbanding beberapa pemain ternama lain dan turut mendapat perhatian daripada beberapa kelab Inggeris seperti Manchester United serta Aston Villa. – AGENSI