SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang tular selepas disyaki mengintai wanita dalam tandas sebuah stesen minyak di Seberang Jaya, di sini berjaya diberkas polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, permohonan reman terhadap suspek berusia 26 tahun itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok.
Katanya, tangkapan itu dibuat susulan pihaknya terkesan satu video tular berdurasi 27 saat yang dimuat naik seorang pemilik akaun menerusi aplikasi X yang memaparkan kejadian seorang lelaki telah memasuki dan mengintai di dalam tandas wanita.
“Siasatan lanjut mendapati kejadian itu berlaku lebih kurang pukul 6.21 pagi pada 5 Mei lalu di tandas wanita sebuah stesen minyak kawasan Seberang Jaya.
“Kita telah menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video berkenaan yang memaparkan suspek masuk ke tandas wanita dan merangkak untuk mengintai dari bahagian bawah pintu tandas.
Suspek kemudiannya melarikan diri selepas kelakuannya itu dikesan kakitangan stesen minyak terbabit. -KOSMO! ONLINE