PETALING JAYA – “Kalau A- bukan dalam kategori cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2024, maka ia dalam kategori apa?”
Persoalan itu dibangkitkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam mengulas tentang tawaran automatik menyertai program matrikulasi bagi sesi 2025/2026.
Kata beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) pada 30 April lalu mengeluarkan pekeliling hanya pelajar mendapat keputusan SPM 10A dengan A+ dan A saja akan diberi tawaran tersebut.
“Pelajar dapat 10A akan ditawarkan tempat di matrikulasi secara automatik diumumkan Perdana Menteri tahun lalu, tetapi pengambilan tahun ini hanya keputusan merangkumi 10 A+ dan A akan ditawarkan tempat.
“Ganjil? Kenapa begitu? Ini bermaksud A- bukan lagi dikira kategori gred A (cemerlang). Kenapa A- bagi SPM bukan lagi kategori gred A? Adakah perubahan ini telah dipersetujui Kabinet?,” katanya menerusi satu rakaman video hari ini.
Ka Siong berkata, berdasarkan definasi SPM, A+ adalah Cemerlang Tertinggi, A Cemerlang Tinggi dan A- Cemerlang, maka ketiga-tiganya adalah dalam kategori cemerlang.
Menurutnya, sepanjang pengetahuan beliau, tiada negara lain mengasingkan A- daripada kategori A+ dan A, malah tiga kategori cemerlang itu telah lama diperakui dunia.
“Jadi A- bukan lagi dalam kategori cemerlang. Maksudnya apa? Cemerlang bukan lagi cemerlang? Keadaan ini mengecewakan ramai pelajar dan rakyat Malaysia,” katanya.- KOSMO! ONLINE