fbpx
Inilah ikan beliak mata dan ia boleh dipancing menggunakan apollo.

Layan apollo ikan beliak mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ikan beliak mata dan ada tempat yang memanggilnya ikan nipis atau ikan puput bulan. Profil ikan ini adalah badannya yang nipis tirus hingga ke hujung ekor, bermata besar dan bermulut luas serta isinya bertulang halus.

Ikan ini biasanya dipancing untuk dijadikan ikan kering sebagai jualan atau sekadar dimakan seisi keluarga.

Di Kelantan, sepanjang bulan Mac hingga September setiap tahun, ikan beliak mata ini boleh dijumpai dari muara sungai hingga ke kawasan pedalaman, asalkan airnya masih berair masin.

Ikan ini mudah dipancing dengan menggunakan apollo atau juga dikenali sebagai sabiki.

Munculnya gerombolan ikan ini pada musimnya hanya disedari ketika saya melihat ramai peman­cing bertenggek di atas Jambatan Pok Nik Loh, Kota Bharu, Kelantan.

Perasan ingin tahu membuatkan saya berhenti sejenak untuk meninjau aktiviti mereka. Rupa-rupanya mereka memancing pelbagai jenis ikan buruan dengan teknik pancingan yang berbeza.

Ada yang menggunakan umpan udang hidup, ada yang mengilat gewang dan ada juga menggunakan apollo memancing ikan beliak mata.

Pagi tersebut, saya hanya melihat sahaja telatah mereka memancing. Menariknya, mereka yang menggunakan apollo silih berganti menaikkan ikan beliak mata dan beberapa ekor ikan kerong.

Situasi pancingan tersebut saya kongsikan bersama-sama rakan yang lain. Masing-masing teruja untuk mencuba kerana ada masa senggang keesokan harinya.

Mencuba sendiri
Seperti apa yang telah dijanjikan, saya dan Bob bergegas ke lokasi yang sama semalam untuk mencuba. Hari tersebut hanya ada beberapa orang pemancing yang setia menanti umpan ‘dipatuk’ ikan, tidak seperti semalam.

Tanpa melengahkan masa, saya dan Bob terus menyiapkan peralatan memancing apollo. Kami hanya menggunakan set pancing ringan, joran tujuh kaki panjang dengan kekili mendatar saiz antara 2000 hingga 3000. Mata apollo pula saiz lapan atau sepuluh dengan bahan di mata kail diperbuat da­ripada kertas dan benang berkilat.

Jambatan Pok Nik Loh lokasi memancing terbaik dari atas jambatan kerana tidak lagi digunakan.

Ikan beliak mata tidak duduk setempat, ia gemar bermain arus dan akan berlegar di kawasan pertengahan air. Ada masanya ia berada dekat dengan dasar.

Jadi, apollo hendaklah dimainkan di pelbagai kedalaman dan digayakan dengan berbagai ritma henjutan.

Baru beberapa kali Bob menghenjut jorannya untuk memikat, ikan beliak mata terus membahamnya.

Membongkok juga joran apabila mata kail apollo diligan ikan beliak mata. Sebaik sahaja dinaikkan, terkontang-kanting beberapa ekor ikan beliak mata berusaha untuk melepaskan diri. Pagi tersebut lebih 20 ekor ikan beliak mata berjaya dipancing. Kira-kira pukul 11 pagi, kami menamatkan aktiviti.

Apollo dari tebing
Beberapa hari kemudian, saya, Bob, Abang Jeff dan Kie membuat satu ‘komplot’ memancing ikan selangat iaitu panggilan orang tempatan untuk ikan senangin bersaiz kecil.

Kami turun mencuba memancing ikan ini di satu lokasi dipanggil Pulau Belacan.

Sudah lebih satu jam meman­cing, ikan yang dicari-cari masih belum sudi membaham umpan. Sebaliknya, ikan beliak mata pula yang membaham umpan udang potong yang dihulurkan untuk ikan selangat.

Bob yang menyedari akan kehadiran ikan tersebut terus menyelongkar bekas peralatan memancing lalu mengeluarkan apollo.

Dia terus mencubanya, tetapi memainkan apollo dari tebing agak sukar kerana posisi memancing dari tempat yang rendah.

Risiko mata kail apollo tersangkut pada reba amat tinggi.

Kami hanya melihat telatah Bob yang berusaha untuk mendapatkan ikan beliak mata.

Usahanya itu akhirnya membuahkan hasil, apabila beberapa ekor ikan beliak mata berjaya dipancing.

Namun, risiko apollo tersangkut dan terputus pasti terjadi dan Bob tidak terkecuali mengalaminya.

Namun, dia berjaya mengurangkan masalah tersebut dengan mengangkat hujung joran setinggi yang boleh sewaktu apollo dikarau menghampiri tebing.

Manakala, kami bertiga masih lagi belum memperolehi sebarang hasil. Tiba-tiba Bob bersuara riang mengatakan bahawa dia berjaya menaikkan seekor ikan selangat. Biarpun ikannya kecil, namun ‘lesen’ mendapatkannya amat bermakna bagi Bob.

Selepas itu, kami bertiga hanya mampu melihat gelagat Bob ke sana ke mari dalam cuaca panas memburu ikan beliak mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN