PORT DICKSON – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menyiasat isu tular berkenaan sebuah pasar raya di daerah ini yang menjual sawi pada harga RM9.99 sekilogram.
Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, siasatan telah dijalankan oleh empat pegawai penguatkuasaan KPDN Cawangan Port Dickson ke lokasi tular berkenaan petang tadi, namun mendapati harga sawi dipamerkan adalah RM5.99, bukannya RM9.99 sekilogram.
“Penjelasan daripada pengurus premis adalah harga barangan ditukar pada setiap hari,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Ujar Muhammad Zahir, pembeli dinasihatkan tidak menularkan terlebih dahulu mengenai kekeliruan seperti itu sebaliknya boleh terus menyalurkan aduan kepada KPDN untuk tindakan selanjutnya di hari yang sama masalah berkenaan dialami.
Terdahulu, tular di media sosial komuniti setempat dakwaan seorang pembeli yang tidak berpuas hati apabila harga sawi yang dibelinya tidak seperti iaitu RM9.99. – KOSMO! ONLINE