KUALA SELANGOR – Malang menimpa seorang lelaki warga emas apabila maut dihempap buah kelapa sawit ketika bekerja di sebuah kebun di Batu 7, Ijok, Bestari Jaya di sini semalam.
Kejadian itu mengakibatan mangsa berusia 63 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan leher.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada anak saudara mangsa pukul 4.05 petang.
Katanya, pemeriksaan polis yang bergegas ke lokasi kejadian kemudian mendapati lelaki itu dalam keadaan terbaring.
“Lelaki itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Ijok. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Azaharudin, hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca kecederaan di kepala dan leher akibat objek yang jatuh.
Kata beliau, siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi video berdurasi 11 saat memaparkan keadaan mangsa terbaring ditutupi kain dengan dikelilingi sekumpulan penduduk di kebun berkenaan. – KOSMO! ONLINE