fbpx

Penolong Pengarah Belia dan Sukan didakwa guna kedudukan dapat kontrak untuk isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.

SEREMBAN – Penolong Pengarah di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak untuk syarikat isterinya.

Tertuduh, Rosdi Pilus, 50 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam

Lelaki itu sebagai Pegawai Belia Dan Sukan Gred S44 merangkap Penolong Pengarah di Jabatan Belia Dan Sukan negeri didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan.

Suapan itu berbentuk kontrak perkhidmatan dengan mengambil tindakan membuat padanan bayaran bagi baucar sebut harga perniagaan syarikat milik isterinya berkaitan perolehan Perkhidmatan Pakej Penginapan, Makan dan Minum, Kursus Teknologi Reka Bentuk Pembungkusan dan Pelabelan Produk Zon Selatan bernilai RM19,990.

Kesalahan dilakukan pada 18 November 2021 di Pejabat Belia Dan Sukan Negeri Sembilan, Seremban.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 23 Februari 2022 menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu kontrak perkhidmatan bagi isterinya dengan mengambil tindakan memperakukan ‘Kelulusan Ketua Bahagian’ pada Borang Permohonan Pesanan Kerajaan atas nama syarikat milik wanita itu bagi perolehan Perkhidmatan Program Hari Sukan Negara Tahun 2022 peringkat negeri berjumlah RM5,000.

Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Zainab Yahaya menawarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun peguam Muhammad Wajih Zakwan Hanif memohon jaminan paling minimum kerana jumlah yang dicadangkan di luar kemampuan tertuduh dan penjamin.

Muhammad Wajih berkata, anak guamnya memberi kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang siasatan dilakukan. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI