fbpx

Momentum positif Sidang Kemuncak ASEAN perkukuh peranan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini iaitu lanjutan kepada momentum positif yang telah dicapai semalam, dijangka memperkukuh lagi peranan Malaysia dalam mengetuai agenda kerjasama strategik ASEAN bersama rakan serantau dan global.

Setiausaha Akhbar Kanan Kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, hari ini akan menyaksikan tumpuan utama kepada pengukuhan kerjasama ASEAN bersama rakan strategik, menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak trilateral ASEAN-GCC-China buat julung kalinya.

“Kedua-dua sidang ini akan membincangkan langkah konkrit untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi ASEAN untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik.

“Turut berlangsung hari ini ialah ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-16 dan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16 yang akan memperkemas agenda pembangunan subrantau dan mengukuhkan keterhubungan rentas sempadan dalam kalangan negara terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri Bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Tunku Nashrul berkata, dengan tumpuan kepada sidang-sidang penting seperti ASEAN-GCC dan ASEAN-GCCChina serta kerjasama sub-rantau melalui BIMP-EAGA dan IMT-GT, Malaysia komited untuk memastikan bahawa Kepengerusian ASEAN 2025 terus menghasilkan keputusan bermakna, berpaksikan prinsip dan memberi kesan langsung kepada rakyat ASEAN.

“Melihat kepada kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini, kita harus berbangga mempunyai pasukan yang komited untuk mengharumkan nama negara dan
membawa pulangan hasil terbaik buat rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, dalam ucapan pembukaan plenari semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pencapaian satu dekad sejak penubuhan Komuniti ASEAN telah memberi semangat dan keyakinan baharu kepada rantau ini, dicerminkan melalui daya tahan luar biasa meskipun dunia kini semakin kompleks dan mencabar.

Katanya, mengambil kira peralihan dalam tatanan geopolitik dan sistem perdagangan global, Perdana Menteri menegaskan bahawa nilai ASEAN Centrality dan persaudaraan antara negara-negara anggota adalah penting untuk memastikan ASEAN terus bersatu dalam menghadapi cabaran semasa secara kolektif.

“Perdana Menteri turut menyentuh penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China buat kali pertama, yang menurut beliau mencerminkan kejayaan dalam membentuk semula corak kerjasama sejajar dengan realiti dunia multipolar hari ini.

“Sidang ini melambangkan kekuatan perpaduan blok serantau dan dijangka membawa kesan positif kepada dunia secara keseluruhan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI