KUALA LUMPUR – Rangka Kerja Pelan Tindakan Belia ASEAN menjadi dokumen panduan utama bagi merangka dasar, program dan kerjasama strategik untuk memperkasa belia serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rangka kerja pelan itu turut diperlukan dalam menangani isu-isu kritikal di rantau ini.
“Saya dan seluruh pimpinan ASEAN beriltizam untuk memastikan pandangan dan idea golongan beliau rantau ini diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Anwar, beliau menegaskan bahawa golongan belia ASEAN bukan sekadar pewaris masa depan, tetapi merupakan rakan setara dalam membentuk halatuju ASEAN.
“Golongan belia ASEAN adalah aset paling berharga dan pembawa harapan serta keberanian dalam menghadapi tantangan semasa antaranya akses kepada pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan yang setara, impak perubahan iklim, dan cabaran serta peluang daripada revolusi kecerdasan buatan (AI).
“Kita tidak harus menidakkan peranan mereka, sebaliknya golongan ini mesti diberi peranan sewajarnya di barisan hadapan. Dalam dunia yang sedang berubah pantas, kreativiti, keberanian dan idealisme anak muda adalah kekuatan yang tidak ternilai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE