KUALA LANGAT – “Tragedi itu mengejutkan kerana mereka yang dilahirkan pada Mei pergi meninggalkan kami pada bulan sama buat selama-lamanya.”
Demikian luahan pilu Noor Azilawati Mudasir apabila anaknya, Norsyahadah Asmadi, 20, maut bersama suami dan anak perempuan berusia setahun selepas motosikal mereka bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Ativa di Kilometer 53 Jalan Klang-Banting-Port Dickson di sini, kelmarin.
Lebih memilukan, Norsyahadah dan Muhammad Azarith Farhan Zulkifli, 20, sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran anak mereka, Nur Halwatuzahra semalam, namun bertukar menjadi kenduri tahil.
Menurut Noor Azilawati, 50, pasangan itu mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu dan dikurniakan anak pada 25 Mei tahun lalu.
“Adik (Norsyahadah) yang juga anak bongsu daripada empat beradik dilahirkan pada 12 Mei 2005, manakala arwah suaminya (lahir) pada 22 Mei tahun sama.
“Dia (arwah) sempat menyatakan hasrat mahu mengadakan kenduri kesyukuran bagi sambutan kelahiran anaknya semalam, namun tidak menjadi kenyataan sebaliknya menjadi kenduri mereka,” katanya ketika ditemui di Taman Sijangkang Jaya di sini, hari ini.
Cerita Noor Azilawati, ketika kejadian, mangsa tiga beranak dalam perjalanan menuju ke tempat kerja bekas suaminya di Tanjong Sepat selain mahu bermandi-manda di pantai berdekatan.
“Sejak berumah tangga, adik dan suami serta dan anak mereka tinggal bersama bapa di Batu 7, Kampung Sijangkang.
“Namun, kami sekeluarga terkejut apabila mengetahui mengenai kemalangan ini daripasa kumpulan WhatsApp pada pukul 2 petang,” kata ibu tunggal itu.
Tambahnya, Norsyahadah sempat mengirimkan mesej ucapan hari lahir kepadanya pada 5 Mei lalu, namun agak panjang dengan ayat ‘berbunga’ berbanding sebelum ini.
Sementara itu, abang arwah, Muhd. Aliff Daniel, 24, berkata, tiga beranak tersebut dilihat kali terakhir keluar rumah mereka, kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Arwah sebelum ini pernah berpesan saya boleh mengambil bilik tidur mereka sekiranya dia sudah berpindah atau ‘tiada’ nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE