KUALA KANGSAR – Seorang lelaki berusia 50 yang dipercayai tinggal seorang diri ditemukan meninggal dunia di kediamannya, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.04 tengah hari.
Setibanya anggota di lokasi kejadian, didapati rumah tersebut dalam keadaan berkunci.
“Ketua operasi mengarahkan anggota membuka pintu dengan bantuan polis. Setelah pintu dibuka, terdapat seorang lelaki telah meninggal dunia berdasarkan keadaan fizikalnya,” katanya hari ini.
Sabarodzi memberitahu, mayat mangsa dikenali sebagai Am diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, sebelum kejadian, penduduk menyatakan mereka tidak melihat kelibat mangsa sejak beberapa hari lalu kerana lelaki itu kerap menggunakan basikal untuk ke kawasan berhampiran membeli makanan. – KOSMO! ONLINE