ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan dibuat lebih awal memandangkan penggal pentadbiran kerajaan negeri hanya akan tamat pada April 2027.
Menurut beliau, kerajaan negeri sedia ada masih memiliki tempoh dua tahun untuk memberikan tumpuan penuh kepada kerja-kerja pembangunan ekonomi dan infrastruktur demi manfaat rakyat.
“Ini bukan musim pilihan raya, penggal pentadbiran hanya akan tamat pada April 2027, ada dua tahun lagi jadi seperti dititahkan Pemangku Sultan Johor untuk kita fokus pembangunan negeri Johor.
“Marilah kita cari titik persamaan agar kerjasama dapat dicapai dan bukannya mencari titik perbezaan antara kita sehingga boleh menyebabkan perpecahan berlaku,” katanya ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap turut memberitahu, pihaknya berterima kasih dengan komitmen dan akhlak murni ditunjukkan ADUN-ADUN pelbagai parti politik di Sidang DUN Johor.