SAUDARA PENGARANG,
KEBERADAAN pasar malam berhampiran laluan utama sering menyebabkan kesesakan trafik apabila ramai pengunjung tidak bertanggungjawab meletakkan kenderaan di bahu jalan.
Keadaan trafik ini menjadi sangat kritikal pada waktu petang susulan para peniaga memulakan perniagaan sekitar pukul 5.30 sehingga 6 petang iaitu waktu puncak orang ramai pulang bekerja.
Di Melaka, sebuah pasar malam di Semabok turut mengakibatkan laluan dua lorong menjadi sempit dan menyukarkan pemandu untuk memandu dengan selamat.
Rata-rata pengguna jalan raya terpaksa membrek secara mengejut apabila lorong menjadi terlalu sempit untuk menukar laluan.
Beberapa kejadian turut melibatkan kemalangan hanya gara-gara pasar malam itu yang diadakan pada setiap hari Rabu.
Melihat kepada beberapa isu yang dihadapi pengguna jalan raya ini, adalah wajar sekiranya pasar malam yang di berada di tepi jalan utama dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai.
Cadangan ini juga dilihat membolehkan peniaga berniaga dalam suasana yang lebih tersusun dan selamat.
Justeru itu juga pihak berkuasa tempatan disarankan untuk meneliti semula lokasi pasar malam sedia ada demi kepentingan semua pihak.
Janganlah sehingga berlaku kemalangan jiwa barulah tindakan penyusunan semula lokasi mahu dilakukan.
PENGGUNA KESAL,
Melaka














