KUALA LUMPUR – Menteri Luar ASEAN mencadangkan lanjutan dan peluasan gencatan senjata di Myanmar melibatkan luar zon yang terjejas, sebagai usaha menghentikan keganasan secara menyeluruh serta melaksanakan Konsensus Lima Perkara dengan lebih berkesan.
Perkara itu dibincangkan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini yang dipengerusikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sekretariat ASEAN dalam kenyataan berkata, langkah itu bukan sahaja penting untuk meredakan konflik yang berlarutan, malah dapat membuka ruang bagi penyaluran bantuan kemanusiaan secara selamat dan berkesan.
“Menteri Luar ASEAN turut menekankan kepentingan memastikan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi penyaluran bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula komuniti yang terjejas,” katanya.
Dalam kenyataan sama, mesyuarat itu telah menerima pakai Garis Panduan untuk Memudahkan Akses Timor-Leste kepada Instrumen dan Perjanjian Undang-Undang ASEAN.
“Ia menandakan kemajuan berterusan ke arah keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN di bawah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN.
“Selain itu, mesyuarat turut meneliti dan meluluskan draf Tambahan kepada Perjanjian Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) yang telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Eksekutif SEANWFZ semasa mesyuaratnya pada 29 April 2025,” jelas sekretariat.
Kenyataan itu turut menjelaskan kelulusan draf tersebut merupakan satu langkah penting dalam integrasi Timor-Leste ke dalam kerangka politik dan keselamatan ASEAN. – KOSMO! ONLINE