GEORGE TOWN – Pengguna media sosial khususnya golongan muda semakin terjerat dengan trend ‘PK Battle’ di TikTok sehingga ada yang sanggup menyapu tepung atau najis haiwan pada muka semata-mata mahu mendapatkan hadiah digital.
Presiden Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, L. Francis berkata, permainan melibatkan dua pengguna media sosial yang disiarkan secara langsung itu secara jelas mampu merosakkan gaya hidup dan akhlak orang muda dengan aksi pelik yang dipertontonkan mereka.
Menurutnya, permainan PK Battle dilihat makin terlampau sehingga ada individu yang sanggup bertindak di luar jangka tanpa rasa malu.
“Permainan PK Battle nampak geli hati tapi apabila kalah, individu itu akan berdepan hukuman tidak masuk akal seperti menyapu tepung dan lumur najis haiwan pada muka serta menyimbah air pada badan yang akan disiarkan secara langsung.
“Malah, kita juga bimbang permainan ini berunsurkan ‘cuci duit’ kerana hadiah yang ditawarkan adakalanya mencecah RM10,000. Pemberi hadiah digital sanggup menghabiskan wang demi kandungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru beliau menggesa pihak berwajib mengharamkan ciri ‘PK Battle di TikTok dengan kadar segera.
“Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga perlu mengadakan perbincangan dengan pihak TikTok bagi menyekat fungsi itu daripada terus digunakan oleh pengguna tempatan.
“Malah, kami terima banyak aduan terutama ibu bapa yang bimbang dengan pengaruh negatif trend tersebut terhadap anak-anak mereka yang berusia bawah 30 tahun.
“Ini kerana, mereka (anak) sanggup tidak tidur malam demi menonton ‘PK Battle’ dan menunggu hukuman yang akan dikenakan pemilik TikTok tersebut. Secara tidak langsung, tindakan ini memupuk budaya hedonisme dalam kalangan remaja,” ujarnya.
Francis berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada seorang ibu yang mendakwa anaknya sanggup mencuri wang semata-mata untuk membeli hadiah dan mahu menyertai aktiviti PK Battle.
“PK Battle bukan hiburan, tetapi satu bentuk penyimpangan sosial yang makin menjadi kegilaan pengguna media sosial dan perlu dibendung.
“Malah, kami juga menggesa ibu bapa supaya memantau penggunaan media sosial anak-anak bagi mengelak tindakan luar jangkaan berlaku,” katanya. -KOSMO! ONLINE