LIMA pemain negara terpilih wakili skuad ASEAN All-Stars untuk bertemu kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu depan.
Antara nama yang terpilih adalah tonggak Terengganu FC, Azam Azmi Murad, Adib Abdul Raop (Penang FC), Haziq Nadzli (Perak FC), Declan Lambert (KL City) dan Sergio Aguero (Sri Pahang).
“Ini satu kebanggaan besar. Saya akan berikan yang terbaik untuk membuktikan kemampuan bola sepak Malaysia,” kata Azam Azmi yang dijangka mengisi posisi bek kanan nanti.
Semua pemain ini akan beraksi di bawah kendalian jurulatih kelahiran Korea Selatan, Kim Sang-sik yang telah membantu Vietnam bergelar juara Piala ASEAN 2024 yang lepas.
Tiket aksi bertemu The Red Devils mula dijual sejak bulan lalu dengan sambutan cukup menggalakkan daripada peminat bola sepak rantau Asia Tenggara apabila 56,000 keping dilaporkan sudah terjual dengan kapasiti stadium boleh memuatkan 80,000 penonton.
Kehadiran The Red Devils ke Kuala Lumpur menamatkan penantian hampir 16 tahun apabila kali terakhir beraksi di Malaysia di venue sama pada 2009.