fbpx
RUDY Rodzila (lima dari kanan) dan Ishak (empat dari kanan) ketika meninjau MNRB Smart e-Learning Room di SMK Kubor Panjang di Pendang, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

MNRB salur hampir RM600,000 perkasa pendidikan luar bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENDANG – MNRB Holdings Berhad (MNRB) meneruskan komitmennya dalam memperkasa pendidikan pelajar sekolah, khususnya di luar bandar menerusi Program Lestari Cemerlang MNRB di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubor Panjang, di sini.

SMK Kubor Panjang merupakan sekolah keenam dipilih sebagai sekolah angkat MNRB sejak program itu diperkenalkan pada 2011, sekali gus memberi manfaat kepada 1,090 pelajar sekolah berkenaan.

Sehingga kini, hampir RM600,000 dana telah disalurkan bagi pelaksanaan program tersebut yang sebelum ini dilaksanakan di lima sekolah iaitu di Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka dan Selangor.

Interim Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, program itu dilaksanakan di SMK Kubor Panjang selama dua tahun bermula April lalu hingga Mac 2028.

Katanya, sebagai organisasi yang komited terhadap tanggungjawab sosial korporat, MNRB sentiasa berusaha menyumbang kepada masyarakat menerusi pelbagai inisiatif yang memberi impak positif.

“Program ini merupakan manifestasi komitmen tersebut kerana kami percaya pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang menjadi asas kepada pembangunan masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Lestari Cemerlang MNRB 2026/2028 SMK Kubor Panjang yang disempurnakan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ishak Awang di sekolah itu hari ini.

Kata beliau, program berkenaan bertujuan membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar serta memperkukuh kecemerlangan sekolah, terutama di kawasan luar bandar.

Menurutnya, pelbagai inisiatif telah dirangka di SMK Kubor Panjang meliputi program akademik, bantuan kemudahan pembelajaran dan pembangunan pelajar.

“Ia melibatkan kelas tambahan untuk pelajar tingkatan lima, kem motivasi, penajaan MNRB Smart e-Learning Room, penajaan jersi pasukan sukan sekolah serta program penghijauan landskap sekolah,” ujarnya.

Jelasnya, MNRB Smart e-Learning Room turut dinaik taraf dengan kemudahan pembelajaran digital termasuk televisyen pintar dan akses internet bagi menggalakkan pembelajaran digital serta memudahkan akses pelajar kepada pelbagai sumber pembelajaran.

Selain itu, katanya, lima pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berpeluang menerima manfaat menerusi Tabung Biasiswa MNRB untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana.

Program Lestari Cemerlang MNRB sebelum ini turut dilaksanakan di SMK Slim, Perak; SMK Undang Jelebu, Negeri Sembilan; SK Kuala Krau, Pahang; SMK Durian Tunggal, Melaka dan SMK Ungku Aziz, Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN