fbpx

Malaysia Masters: Air menitik bukan sebab bumbung bocor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PETUGAS perlawanan mengelap permukaan gelanggang yang basah akibat air yang menitik dari bumbung stadium. - ISKANDAR ISHAK

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil menafikan gelanggang basah pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil berpunca daripada bumbung bocor.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, keadaan itu disebabkan wap air yang terhasil daripada pendingin hawa yang berada di bahagian bumbung sehingga menyebabkan air menitik ke atas gelanggang permainan.

“Titisan air itu berlaku disebabkan pemeluwapan pada paip penyembur dan penyaman udara, bukan kerana bumbung bocor. Ia berpunca daripada perbezaan suhu di dalam stadium dan cuaca panas di luar.

“Kami sudah mula mengelap paip setiap satu hingga lima jam dan setakat ini, ia berkesan. Kami akan teruskan langkah ini sehingga tamat kejohanan,” katanya ketika diminta mengulas isu tersebut.

Terdahulu, sejak hari pertama Malaysia Masters yang bermula kelmarin, beberapa perlawanan di Axiata Arena sedikit terganggu apabila petugas beberapa kali dipanggil masuk bagi mengelap permukaan gelanggang.

Pada kejohanan Terbuka Malaysia Januari lalu, Axiata Arena terpalit dengan insiden bumbung bocor akibat hujan lebat seawal hari pertama saingan sehingga menyebabkan beberapa perlawanan ditangguhkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI