SHAH ALAM – Sebanyak 513 buah syarikat kenderaan berat telah digantung lesen selepas terlibat dalam pelbagai kesalahan termasuk gagal menyelenggara kenderaan dengan baik.
Perkara itu didedahkan Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan dengan semua tindakan dibuat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Katanya, penggantungan itu dibuat dari 2019 hingga 30 April tahun ini dengan pihaknya tidak sesekali akan berkompromi dengan sebarang kesalahan dan pelanggaran undang-undang di kalangan syarikat pengendali kenderaan berat.
“Syarikat ini digantung lesen pengendali disebabkan pelbagai kesalahan antara gagal senggera kenderaan dengan baik dan gagal memberikan keutamaan paling tinggi kepada pengguna jalan raya yang lain.
” Selain itu, syarikat terbabit gagal mematuhi syarat dalam keperluan tahap perkhidmatan bagi perkhidmatan kenderaan barangan,” katanya pada sidang akhbar khas berikutan kenderaan berat di Stesen Penguatkuasa JPJ Elmina Selatan di sini, hari ini.
Kata beliau, pihaknya telah mengesyorkan kepada APAD untuk menggantung lesen pengendali 15 buah syarikat kenderaan berat lagi di bawah Seksyen 58 (1)(a), Seksyen 58 (1)(b) dan Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar mengambil tindakan terhadap syarikat dan pemandu lori yang telah menyebabkan kematian atau kecederaan parah.
Katanya, JPJ mengambil serius kesalahan seperti gagal memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM), cukai jalan, tidak mempunyai insurans perlindungan jalan serta mengabaikan pemeriksaan kenderaan secara berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) membabitkan pemandu dan syarikat lori.
“Oleh demikian, pemilik kenderaan (syarikat) boleh dikenakan tindakan sitaan dan lucut hak kerana tidak mematuhi peraturan di bawah Akta 333 dan Akta 715 (Akta Pengangkutan Jalan) (APJ) 1987.
“Bagi kes kemalangan jalan raya yang menyebabkan kepada kematian dan sekiranya pemandu terbukti bersalah, kita akan mengesyorkan kepada APAD untuk menarik balik lesen operasi syarikat dan pemandu lori,” katanya. – KOSMO! ONLINE